SINGAPURA: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata padah menimpa.
Perumpamaan tepat untuk menggambarkan situasi lelaki Australia yang dihukum penjara lapan minggu oleh mahkamah Singapura.
Moncrieff Marli Curtis Philip, 36, dijatuhi hukuman itu pada Rabu, selepas mengeluarkan kenyataan yang berbaur ancaman.
Dia didakwa menyebut ‘mahu pesawat terhempas dan bunuh semua orang’ disebabkan marah apabila ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.
Kejadian berlaku pada November lalu ketika dia merancang bercuti di Phuket, Thailand, namun kemasukannya ditolak imigresen Thailand disebabkan visa pada pasportnya tercabut.
Dia kemudian diletakkan dalam penerbangan ke Singapura, yang menyaksikan kemasukannya ke negara itu disekat kerana masalah visa sama.
Di Changi, pegawai imigresen membantu Curtis Philip mendapatkan ubat anxiety dan kemurungan daripada bagasinya, sebelum dibawa ke bilik menunggu untuk dihantar pulang ke Perth.
Bagaimanapun pada 20 November 2024 ketika diiring untuk menaiki pesawat Jetstar ke Australia, dia didengari oleh kru penerbangan sebagai berkata, “saya mahu pesawat terhempas dan bunuh semua orang.”
Akibatnya, lelaki itu dirujuk kepada pihak berkuasa lapangan terbang, dikeluarkan daripada penerbangan dan bagasinya diperiksa.
Pihak berkuasa tidak menemui sebarang benda bahaya dan memberitahu Curtis Philip bahawa dia perlu menunggu penerbangan berikutnya ke Australia.
Ketika itu, semasa berbual dengan teman wanitanya, Curtis Philip didengari sekali lagi mengeluarkan kata-kata ancaman sama jika perlu menaiki penerbangan lain.
Kenyataannya didengari pegawai imigresen, memaksa laporan polis dibuat dan lelaki itu ditahan.
Susulan kejadian, Curtis Philip dilapor turut menulis permohonan maaf dan menyatakan kekesalan atas tindakannya.