
SERIAN: Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 18 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuching hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan bawah umur.
Ketua Polis Daerah Serian, Freddy Bian Stanislaus Bian dalam satu kenyataan media berkata tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, tertuduh mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.
Beliau berkata hukuman yang dikenakan ialah penjara selama 30 tahun serta 18 sebatan.
Freddy berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius jenayah seksual, khususnya yang melibatkan kanak-kanak, dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam kesalahan sedemikian.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian jenayah seksual kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian menerusi talian 082-874201 atau melalui laman Facebook Polis Daerah Serian.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak polis membanteras jenayah seksual serta melindungi golongan kanak-kanak daripada menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan.
Oleh Adi Safarman