
ROBAN: Tindakan berani seorang buruh bersama anaknya yang melarikan diri daripada sekatan polis bantuan selepas mencuri buah kelapa sawit membawa padah apabila dia berjaya dicekup polis di sebuah rumah panjang di Sungai Ruan, Roban, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kejadian bermula apabila seorang anggota polis bantuan berusia 52 tahun yang bertugas di Pejabat Salcra Roban Selatan menerima maklumat mengenai kehadiran dua lelaki yang sedang memuatkan sawit curi ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hitam.
Pengadu bersama rakan sekerjanya segera bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan sekatan di dalam kawasan ladang tersebut.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek enggan memberikan kerjasama apabila diarah berhenti, sebaliknya bertindak memecut kenderaan mereka demi mengelakkan diri daripada ditahan.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh pengadu, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok telah digerakkan.
Hasil tindakan pantas, pihak polis berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 50 tahun di sebuah rumah panjang sekitar 11.30 pagi, iaitu tidak sampai sejam selepas laporan diterima.
Hasil soal siasat mendedahkan bahawa suspek bersama anaknya yang kini masih bebas, telah menceroboh ladang tersebut seawal 7.30 pagi.
Mereka bertindak mengambil buah kelapa sawit yang sudah dilonggokkan di tepi jalan sebelum menyembunyikan 39 tandan buah sawit serta sebatang besi tojok di dalam semak berhampiran sebuah pondok, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Pihak polis turut merampas kenderaan Toyota Hilux hitam yang digunakan dalam jenayah tersebut beserta kunci dan alat penggera.
Ujian saringan air kencing terhadap suspek yang ditangkap menunjukkan keputusan negatif, dan kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Usaha memburu anak suspek yang masih melarikan diri sedang giat dijalankan.
Oleh Adi Safarman