BAU: Projek penternakan lembu di kawasan Serembu dijangka bermula tahun depan sekali gus memacu sektor ekonomi di Daerah Bau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berkata, projek tersebut akan dilaksanakan di Kampung Merembeh di kawasan seluas 120 ekar.
Menurutnya, sebagai permulaan kira-kira 100 ekor lembu dari baka Nepia akan dibawa masuk ke kampung berkenaan untuk pembiakan dan penternakan.
“Kita jangka projek ini bermula tahun depan kerana buat masa ini kita masih melaksanakan kerja-kerja penyediaan infrastruktur asas di kawasan berkenaan.
“Pada masa sama, kita jangka projek pembiakan ini akan menghasilkan kira-kira 600 hingga 700 ekor dalam tempoh tiga tahun,” katanya ketika ditemui media selepas Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Kampung Kandis Lama, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, projek tanaman Padi Paya Sekunyit juga akan dibangunkan di kawasan seluas 600 ekar di antara Kampung Sega dan Kampung Peninjau.
Oleh NUR AIN OTSMAN