KUCHING: Penerbangan terus Malaysia Airlines antara Sarawak dan Pulau Pinang diyakini dapat memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua destinasi.
“Amat menggembirakan untuk melihat bahawa kita juga kini berhubung melalui Malaysia Airlines ke pulau lain yang indah, Pulau Pinang,” kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Penerbangan Pertama Malaysia Airlines dari Pulau Pinang ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.
Menurut Karim, Kuching baru-baru ini diiktiraf sebagai Rangkaian Bandar Kreatif oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik danKebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di dalam bidang Gastronomi.
Justeru, dengan pautan terus ke Bandar Georgetown Warisan Dunia UNESCO, pengunjung kini juga boleh menikmati tawaran terbaik kedua-dua bandar yang kaya dengan budaya, pengembaraan, makanan, alam semula jadi dan perayaan dari Timur ke Barat.
Beliau turut berterima kasih kepada Malaysia Airlines kerana menyambung dua destinasi pulau yang saling melengkapi ini.
“Jelas, ketersambungan dan kebolehcapaian menjana lebih besar mobiliti yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua destinasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut yakin penduduk kedua-dua pulau kini boleh melawat tapak UNESCO dengan lebih mudah.
” Jenama tempatan ‘Sia Sitok Sarawak’ yang diusahakan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Persekutuan Pelancongan Sarawak berjaya mengetengahkan pakej domestik yang menarik. Maklumbalas amat menggembirakan dan ia sudah tentu membantu industri ketika waktu yang mencabar ini,” jelasnya.
Malah kata beliau, dengan adanya ‘Sia Sitok Sarawak,’ ia membolehkan pelawat tempatan lebih mengetahui pelbagai maklumat tentang negeri ini, selain membuktikan terdapat banyak berpotensi untuk pelancongan domestik.
Dengan sekatan perjalanan yang semakin berkurangan di Sarawak, Karim berkata pihaknya berharap untuk melihat lebih banyak laluan terus baharu dan meningkatkan kekerapan penerbangan terus dari Malaysia Hubs seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Kinabalu serta kerjasama yang lebih erat dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.
Beliau turut menjemput semua rakyat Malaysia untuk datang dan merasai pengalaman Indah di Sarawak secara langsung.
“Jadi, datang dan temui Sarawak dan nikmati budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan yang ditawarkan di sini, “ kata beliau.
Oleh NUR AIN OTSMAN