
PETRA JAYA: Kerjasama Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) dan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) mencerminkan komitmen dalam memajukan pembangunan lestari di Sarawak.
STIDC dan Universiti Teknologi Sarawak UTS menandatangani Cadangan Kerjasama menandakan satu perkongsian strategik bagi Persidangan Antarabangsa Sains Gunaan dan Kelestarian (ICAAS 2025), hari ini.
Menurut Pengurus Besar STIDC, Zainal Abidin Abdullah, yang juga merupakan Pengerusi Bersama ICAAS 2025 menyatakan bahawa majlis menandatangani Cadangan Kerjasama itu adalah satu pencapaian penting dalam usaha bersama STIDC dan UTS untuk mempromosikan amalan lestari serta inovasi dalam sains gunaan.
“Sebagai salah satu organisasi utama yang memacu industri kayu di Sarawak, STIDC membawa kepakaran dan kepimpinan industri ke ICAAS 2025.
“Walaupun persidangan ini merangkumi pelbagai topik dalam sains gunaan, penglibatan STIDC sejajar dengan bidang seperti kayu kejuruteraan, produk hutan, serta sains dan teknologi kayu.
“Ini adalah bidang utama di mana kami dapat berkongsi pandangan serta sumbangan kami,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi taklimat bersama wakil UTS mengenai ICAAS 2025 yang berlangsung di Ibu Pejabat STIDC di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama itu mengukuhkan komitmen STIDC untuk memupuk kelestarian dalam industri kayu dan sektor lain.
“ICAAS 2025 menyediakan platform terbaik bagi pemimpin industri, penyelidik, dan pembuat dasar untuk bertukar pandangan serta meneroka penyelesaian terhadap cabaran global dalam kelestarian,” tambahnya.
Sementara itu, wakil UTS yang juga Timbalan Pengerusi ICAAS, Ts. Dr. Abdul Fattah Ab Razak menjelaskan, kerjasama antara STIDC dan UTS bakal mengangkat ICAAS 2025 sebagai platform utama untuk pertukaran ilmu dan inovasi dalam sains gunaan.
“Dengan menggabungkan kepakaran akademik dan perspektif industri, kerjasama ini bertujuan untuk memacu kemajuan bermakna ke arah pembangunan lestari di Sarawak dan peringkat global,” jelasnya.
Kerjasama tersebut melantik STIDC sebagai penganjur bersama bagi ICAAS 2025 yang bakal berlangsung di Hotel Raia Kuching dari 6 hingga 7 Ogos depan serta dijangka menarik penyelidik, profesional, dan pembuat dasar dari seluruh dunia bagi membincangkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran kelestarian.
OLEH MASRIN AFFIRAH