
DEBAK: Program P204 Pameran Pendidikan Betong 2026 yang berlangsung di Dewan Akademia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, baru-baru ini berjaya memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai laluan pendidikan tinggi serta peluang kerjaya.
Program anjuran bersama pihak sekolah, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Betong dan Biro Tuisyen Rumah Panjai itu diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun ke-60 (Jubli Intan) SMK Saribas.
Sebanyak 12 institusi melibatkan 30 wakil pempamer mengambil bahagian, merangkumi pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi pendidikan, antaranya Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Pengurusan dan Sains (MSU), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Curtin Malaysia, Kolej SIDMA Sarawak, Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, Sekolah Kemahiran Yahos, Kolej Universiti iCATS, Politeknik Metro Betong, Kolej Laila Taib dan Yayasan Sarawak.

Penyertaan pelajar amat menggalakkan apabila seramai 202 pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 dari beberapa sekolah sekitar daerah Betong hadir, termasuk dari SMK Beladin, SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK Ulu Layar, SMK Spaoh dan SMK Saribas sendiri.
Sepanjang program berlangsung, pelajar berpeluang mendapatkan maklumat secara langsung berkaitan syarat kemasukan, bidang pengajian serta peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Program turut diisi dengan ceramah pendidikan oleh Dr Andrew Emparan serta sesi penerangan mengenai inisiatif Pendidikan Percuma Sarawak oleh wakil Yayasan Sarawak.
Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran dan motivasi pelajar terhadap kepentingan pendidikan tinggi serta perancangan masa depan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pihak penganjur dalam memperkasa pembangunan pendidikan di Daerah Betong.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Dato Dr Richard Rapu. Turut hadir Pengetua SMK Saribas Liana Lim Abdullah, Pengerusi SIDS Betong Eva Bobby, Penolong Pegawai Pentadbir Menguasa Daerah Kecil Debak Mohammad Khairurani Mohammad Ibrahim serta penyelaras program Dr Serit Banyan.
Oleh Norman B