Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Osteoporosis ancaman senyap, rakyat disaran ambil langkah awal
  • KESIHATAN

Osteoporosis ancaman senyap, rakyat disaran ambil langkah awal

Utusan Sarawak 5 hours ago
OSTEOPOROSIS semakin membimbangkan di Malaysia, saringan awal mampu cegah kepatahan serius. Foto SMC

KUALA LUMPUR: Osteoporosis atau sering digelar ‘penyakit senyap’ boleh melemahkan tulang secara beransur-ansur tanpa sebarang gejala sehingga berlaku kepatahan serius, dan penyakit ini kian membimbangkan di Malaysia disebabkan perubahan diet serta gaya hidup.

Pakar Perunding Geriatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Edward Chong Kah Chun berkata kebanyakan pesakit hanya menyedari mereka menghidap osteoporosis selepas mengalami kepatahan akibat kerapuhan, iaitu kepatahan akibat kejatuhan atau impak kecil yang biasanya tidak mencederakan tulang sihat.

“Osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran ketara sehingga terlambat. Kebanyakan pesakit didiagnosis hanya selepas mengalami kepatahan akibat kerapuhan, kepatahan yang disebabkan oleh kejatuhan atau impak kecil yang biasanya tidak akan mencederakan tulang sihat. Ketika itu, penyakit tersebut sudah pun menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kepatahan akibat kerapuhan lazim berlaku pada pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan dengan setiap satunya mempunyai kesan yang serius.

“Kepatahan pinggul adalah yang paling teruk kerana ia sering menyebabkan ketidakupayaan bergerak berpanjangan.

“Berdasarkan data global, satu daripada empat pesakit berisiko meninggal dunia dalam tempoh setahun selepas kepatahan pinggul akibat komplikasi,” katanya.

Selain kesan fizikal, Dr Chong berkata osteoporosis turut memberi kesan emosi apabila pesakit mengalami ketakutan untuk jatuh, sekali gus mengehadkan pergerakan dan meningkatkan risiko kelemahan otot serta pengasingan diri.

Beliau berkata peningkatan kes osteoporosis di Malaysia dipengaruhi faktor diet dan gaya hidup, termasuk pengambilan kalsium yang tidak mencukupi serta kekurangan vitamin D akibat kurang pendedahan kepada cahaya matahari.

“Walaupun Malaysia beriklim tropika, ramai mengelak daripada cahaya matahari. Vitamin D penting untuk penyerapan kalsium dan kesihatan tulang,” katanya, sambil menambah wanita berisiko lebih tinggi selepas menopaus, namun lelaki juga tidak terkecuali.

Mengenai saringan, Dr Chong berkata Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia 2022 mengesyorkan saringan segera bagi individu yang mengalami kepatahan trauma rendah, selain wanita berusia 50 tahun ke atas dan lelaki 70 tahun ke atas.

“Saringan menggunakan imbasan dual-energy X-ray absorptiometry (DEXA) adalah ujian standard yang ringkas dan tidak invasif bagi mengukur ketumpatan mineral tulang. Penilaian awal membolehkan rawatan dimulakan sebelum kepatahan serius berlaku,” katanya.

Beliau berkata rawatan osteoporosis merangkumi pengambilan nutrisi mencukupi, aktiviti fizikal berkala dan ubat-ubatan bergantung kepada tahap penyakit.

“Kami mengesyorkan pengambilan kira-kira 1,000 miligram kalsium dan 800 IU vitamin D sehari, selain senaman seperti berjalan, angkat berat ringan dan Tai Chi untuk meningkatkan kekuatan tulang serta keseimbangan,” katanya.

Dr Chong turut menekankan peranan ahli keluarga dalam pencegahan, termasuk memastikan persekitaran rumah selamat dan menggalakkan warga emas kekal aktif.

“Pencegahan osteoporosis bermula sejak usia muda. Tulang yang kuat dibina sepanjang hayat dan menjadi asas kepada kebebasan serta mobiliti apabila usia meningkat,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Hospital Bintulu gesa orang ramai derma darah sepanjang musim perayaan
Next: Rawatan ECMO IJN beri sinar harapan pesakit jantung

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.