KUCHING: Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) pertama di Sarawak yang beroperasi sebulan lalu telah membawa harapan baharu kepada kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.
Terletak di Metro City, Jalan Matang di sini, pusat berkenaan adalah inisiatif kerajaan negeri dengan kerjasama Petronas dan akan dilancarkan secara rasmi pada 30 Oktober.
Pusat ini merupakan antara beberapa projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama Petronas di Sarawak.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata projek itu menerima pembiayaan awal sebanyak RM4 juta daripada Petronas dan selebihnya dibiayai oleh kerajaan negeri.
“Objektif OSEIC adalah untuk menyediakan perkhidmatan diagnosis, pemulihan dan intervensi di bawah satu bumbung untuk kanak-kanak autisme, sindrom down dan masalah pembelajaran berusia bawah tujuh tahun,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, di sini.
Menurut Fatimah, walaupun terdapat Pusat Agape di bawah Persatuan Perkhidmatan Komuniti Sibu, yang menempatkan lima organisasi berbeza yang menjalankan perkhidmatan, pengurusan dan sokongan kewangan, OSEIC adalah pusat pertama di negeri ini yang menyediakan perkhidmatan di bawah satu bumbung dan dikendalikan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu PIBAKAT.
“Semasa kami melawat Genius Kurnia di Kuala Lumpur, kami bertemu dengan beberapa ibu bapa yang mempunyai anak autisme dari Sarawak yang terpaksa pindah ke Kuala Lumpur untuk menghantar anak-anak mereka mengikuti program intervensi.
“Salah seorang ibu yang ditemui terpaksa berhenti kerja di Miri hanya untuk memastikan dia dan suaminya dapat tinggal di Kuala Lumpur dan menghantar anak mereka ke Genius Kurnia,” katanya, sambil menambah bahawa dengan penubuhan pusat tersebut di Sarawak, ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa ini tidak perlu risau untuk ke Kuala Lumpur, berbelanja lebih atau berhenti kerja untuk menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti program intervensi.
“Perkhidmatan itu kini terdapat di Kuching dengan bayaran yang berpatutan dan untuk permulaan, 40 kanak-kanak daripada 40 buah keluarga telah mendaftar dengan OSEIC. Kami mengharapkan lebih ramai akan mendaftar dan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang disediakan di pusat ini,” katanya. – Bernama