PEMAIN pilihan keempat Naomi Osaka mengalahkan pemain pilihan ke-28, Jennifer Brady dalam tiga set untuk mara ke final Terbuka AS semalam, sambil mempercayai bahawa dia berjaya dengan sikap yang riang pasca ‘lockdown’.
Juara Terbuka AS 2018 dari Jepun itu mengatasi pemain Amerika berusia 25 tahun, 7-6 (7/1), 3-6, 6-3 dalam 2 jam 8 minit di bawah bumbung Stadium Arthur Ashe.
“Saya hanya merasa seperti mahu mencubanya, merasa seperti kami hanya berbalas servis,” kata Osaka mengenai pertarungan separuh akhir.
“Saya rasa saya cuba menyesuaikan sedikit dengan servisnya dalam set ketiga jadi mungkin itu sedikit membantu,” tambahnya.
Brady, 25, tidak tewas satu set dalam kemaraan beliau ke separuh akhir Grand Slam pertamanya.
“Saya agak menganggap New York sebagai rumah kedua saya. Saya sangat menyukai suasananya,” kata Osaka.
“Walaupun sayangnya tidak ada orang di sini, saya merasa gelanggang ini sangat sesuai dengan saya,” tambahnya.
Osaka kini telah memenangi sepuluh perlawanan terakhirnya.
“Saya rasa seperti keluar daripada kuarantin dengan sikap positif dan tidak peduli jika saya menang atau kalah,” katanya.
Osaka, berketurunan yang Haiti dan Jepun, memasuki gelanggang dengan memakai pelitup muka yang dihiasi dengan nama Philando Castile, seorang lelaki kulit hitam yang ditembak mati oleh seorang polis semasa perhentian trafik di Minnesota pada tahun 2016.
Juara Terbuka Australia 2019 memakai pelitup muka yang berbeza untuk menghormati mangsa ketidakadilan kaum dan kekejaman polis sepanjang kejohanan.
Dia sudah mengenakan pelitup muka dengan nama Breonna Taylor, Elijah McClain, Ahmaud Arbery, Trayvon Martin dan George Floyd. – AFP