KUALA LUMPUR: Organisasi media konvensional di negara ini perlu meneliti, mencari kesesuaian dan menyelaraskan semula beberapa perkara dalam model perniagaan mereka bagi memenuhi keperluan peredaran zaman kini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia penting bagi memastikan tiada kesan negatif terhadap organisasi media terutamanya industri penyiaran kerana perbelanjaan pengiklanan yang dilihat semakin menguncup dan mula beralih ke paltform digital.
“Saya telah bertemu dan berbincang dengan pelbagai pihak, ini satu isu yang besar kerana kita lihat terutamanya dari segi perbelanjaan pengiklanan yang dulu banyak membantu untuk operasi syarikat media, sekarang ini semakin menguncup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital Asia Pacific Broadcasting Union (ABU) 2023 di sini, hari ini.
Fahmi turut menegaskan bahawa beliau tidak akan membeza-bezakan media swasta mahupun awam dalam isu tersebut kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memastikan proses semak dan imbang serta laporan benar sampai kepada rakyat.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga sedang meneliti untuk menambah baik dan meminda beberapa akta termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 bagi memenuhi keperluan sekarang.
Bagaimanapun, beliau berkata pindaan akta-akta tersebut perlu mengambil kira beberapa aspek seperti keselamatan awam, kebebasan bersuara dan kebebasan media.
“Cara kita melihat konsep kandungan itu pun kita perlu terjemahkan dalam undang-undang. Dulu ketika banyak akta ini digubal, waktu itu kita tidak bercakap tentang kandungan tetapi sekarang inilah realitinya,” katanya.
Fahmi berharap pindaan akta-akta tersebut dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau Oktober ini.
Mengenai simposium ABU 2023, beliau berharap semua peserta melihat dan membincangkan perubahan yang berlaku dalam bidang penyiaran termasuk perubahan model perniagaan atau peranti yang digunakan industri media kini.
Simposium yang berlangsung di ibu negara selepas tiga tahun tidak diadakan susulan pandemik Covid-19 itu memaparkan pameran daripada 225 organisasi penyiaran dari 53 negara. – Bernama