
MIRI: Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 tidak pernah dibatalkan dan masih terpakai selepas penubuhan Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak berkata ekoran tercetusnya industri perlombongan minyak dan gas di Miri ini, OMO 1958 telah digubal oleh pihak British pada 1958 supaya sumber minyak di Sarawak dieksploitasi dengan cara yang teratur.
“OMO 1958 tidak pernah dibatalkan dan masih terpakai selepas penubuhan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Sarawak 2025 di Stadium Bandar Raya Miri di sini sebentar tadi.
Abang Johari berkata sekarang rakyat rasa bersyukur kerana ekonomi Sarawak telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan.
Pada tahun lepas katanya, Sarawak mendapat pulangan hasil tertinggi pernah dicatatkan, iaitu RM14 bilion.
“Ini merupakan peningkatan daripada RM13.3 billion pada 2023.
“Bagi 2025, saya telah membentangkan bajet yang terbesar dalam sejarah Sarawak berjumlah RM15.8 bilion yang membuka ruang kepada ekonomi yang inklusif dan peluang kepada semua.
“Atas kuasa yang diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan, negeri ini sudah mula menikmati lebih banyak hasil minyak dan gasnya melalui cukai SST yang dikenakan ke atas produk petroleum dan juga melalui perkongsian keuntungan antara Petronas dan Petros,” katanya
Beliau berkata pengoperasian hak ke atas minyak dan gas di Sarawak telah meningkatkan pendapatan Sarawak yang memberi keupayaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membangunkan Sarawak yang lebih maju dan berdaya saing berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid 2030 (PCDS 2030).
Sekarang ini katanya, Sarawak memberi sumbangan yang agak besar kepada pulangan hasil negara, iaitu hampir 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan antara angka tiga teratas dalam kalangan sumbangan daripada negeri-negeri.
Oleh Kadir Dikoh