
KUCHING: Pindaan terhadap Ordinan Buruh Sarawak 2025 yang berkuat kuasa 1 Mei dilihat membawa perubahan ketara terhadap peraturan pekerjaan di negeri ini, namun dalam masa sama menambah beban pematuhan kepada para majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Dato Sim Kiang Chiok berkata antara perubahan utama ialah pengurangan had maksimum waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta lanjutan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari.
“Langkah ini selaras dengan usaha meningkatkan kebajikan pekerja dan menepati piawaian buruh antarabangsa, namun implikasi kosnya besar bagi pihak majikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bagi PKS, penambahan keperluan baharu ini menambah kepada senarai kewajipan perniagaan yang kian meningkat, termasuk kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.
“Peningkatan gaji minimum ini, ditambah dengan pengurangan waktu bekerja, bermakna perniagaan perlu membayar lebih untuk hasil kerja yang berkurangan kecuali mereka melabur dalam automasi atau menyerap kerugian produktiviti,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pelaksanaan e-invois mandatori oleh Kerajaan Persekutuan menjelang 2026 yang menurutnya bakal memberi cabaran besar kepada peniaga kecil terutama di kawasan separa bandar dan luar bandar Sarawak.
“Ramai peniaga kecil tidak mempunyai kapasiti teknikal atau sumber untuk menyesuaikan diri dengan sistem e-invois digital. Ini memerlukan pelaburan dalam teknologi baharu dan latihan, sekali gus membebankan pemilik perniagaan kecil yang sedia tertekan,” jelasnya.
Tambah Sim, gabungan perubahan ini berpotensi melemahkan semangat keusahawanan di Sarawak apabila peningkatan kos pematuhan menjejaskan pertumbuhan, penciptaan pekerjaan dan inovasi.
“Bagi memastikan pembangunan mampan, sebarang reformasi dasar perlu mengambil kira realiti operasi yang dihadapi perniagaan tempatan,” tegasnya.