DALAT: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM ) yang diadakan di Pekan Dalat mendapat sambutan hangat penduduk setempat.
Orang ramai menyerbu Ing Choon Mini Market untuk mendapatkan barangan keperluan harian mereka dengan harga murah.
Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mukah, Salihin Den berkata program itu menawarkan harga rendah merangkumi pelbagai barangan keperluan harian.
“Penjimatan harga sehingga 30 peratus bagi barangan seperti beras, gula, minyak masak paket, tepung gandum dan telur ayam. Penganjuran program ini sangat membantu penduduk tempatan untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan,” katanya.
Ia adalah inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban orang ramai terutama golongan B40, berikut kos sara hidup ini naik.
Beliau berkata, premis itu turut menawarkan harga murah terhadap beberapa barangan lain seperti biskut, roti, air mineral, minuman botol, buah-buahan dan bahagian ayam sejuk beku.
Salihin juga memberitahu bahawa pihak KPDNHEP sebagai pelaksana akan menjayakan program ini sehingga Disember nanti.
Berikutan itu beliau menasihati pengguna untuk melayari Laman Rasmi Facebook KPDNHEP Mukah bagi mengetahui tarikh dan lokasi seterusnya.
Oleh Henry B Siyu