KUCHING: Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan mengelak tragedi yang tidak diingini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata mereka perlu peka ketika mengadakan aktiviti riadah kerana keadaan tidak menentu seperti hujan lebat.
“Ketika aktiviti riadah, sekiranya ada tanda-tanda kepala air, ribut, tanah runtuh dan sebagainya, hendaklah peka dengan keadaan ini.
“Orang ramai juga perlu sentiasa peka dengan setiap notis atau tanda amaran daripada pihak bomba atau mana-mana agensi yang terlibat dengan keselamatan masyarakat bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku.
“Banyak berlaku insiden atau tragedi yang meragut nyawa dalam skala besar dan komuniti perlu membuat langkah berjaga-jaga untuk menjaga keselamatan diri.
“Apabila melakukan aktiviti riadah seperti mendaki gunung, meredah hutan, berkelah bersama keluarga dan sebagainya, hendaklah memantau kawasan tersebut sebelum menjalankan sebarang aktiviti.
“Ambil langkah-langkah keselamatan berpandukan arahan di tempat tersebut, contohnya aktiviti hutan yang mempunyai tanda-tanda amaran dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS).
“Tolong beri perhatian terhadap tanda amaran ini jika tidak mahu segala insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya hari ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal