ZARINA ABDULLLAH
KUCHING: Semalam hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) fasa 4 dilaksanakan di Sarawak menyaksikan jalan raya, operasi perniagaan, sektor pekerjaan serta beberapa sektor yang dibenarkan kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Tinjauan Utusan Sarawak di sekitar bandar raya bermula awal pagi semalam mendapati jalan raya utama sudah mula dipenuhi kenderaan dan sesak, kompleks beli belah dipenuhi orang ramai, kedai sudah memulakan operasi seperti biasa dan kedai makan sudah membenarkan orang ramai duduk makan di premis mereka.
Namun apa yang menarik perhatian adalah rata-rata orang ramai, peniaga dan pekerja semuanya mematuhi SOP ketat yang ditetapkan dengan semua memakai topeng penutup mulut dan hidung, menyediakan cecair pembersih tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan banyak lagi.
Keadaan dilihat sudah menghampiri keadaan sebelum ini selepas 55 hari di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun diamalkan dengan norma baharu yang lebih mengutamakan kebersihatan dan keselamatan bagi menghidari jangkitan Covid-19.
Sebagai contoh, di kawasan Lebuh India didapati hampir semua sektor perniagaan yang dibenarkan memulakan operasi seperti kedai menjual bahan-bahan membuat kuih dipenuhi orang ramai yang bersusun dari awal pagi untuk membeli bahan bagi tujuan membuat kuih memandangkan musim perayaan sudah semakin hampir.
Orang ramai juga sudah mula keluar membeli belah untuk membeli barangan keperluan perayaan seperti Hari Raya dan Hari Gawai Dayak yang bakal menjelang lebih kurang dua minggu lagi.
Selain itu, turut dipenuhi orang ramai adalah kedai bengkel kenderaan, bank dan kedai pajak gadai menyaksikan masyarakat bersusun dengan mengamalkan penjarakan sosial semasa menunggu giliran.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan masa operasi bagi semua sektor ekonomi yang dibenarkan untuk dibuka di seluruh negeri bermula jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam.
Terdahulu, Uggah pada sidang media minggu lalu berkata Sarawak bersetuju melaksanakan PKPB tetapi SOP mestilah ditetapkan mengikut kesesuaian dengan keadaan di negeri ini dengan pemantauan, penyeliaan dan penguatkuasaan dengan teliti akan dilakukan oleh pihak berkuasa.
Uggah berkata, sektor perniagaan yang akan dibenarkan beroperasi semula mengikut kategori zon kerana 70 peratus daripada kawasan di Sarawak ketika ini dikategorikan sebagai zon hijau.