




DARO: Orang ramai di kawasan pesisir Pulau Bruit, Daro dan Matu merasai pengalaman perit sehingga enam jam menunggu feri di Batang Paloh semalam.
Ini berikutan terlalu banyak kereta menghala ke kawasan tersebut kerana orang ramai balik berhari raya di kampung masing-masing dari arah kawasan Sarikei, Bintangor dan Sibu termasuk mereka dari Kuching menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo melalui Sarikei.
Difahamkan, ini juga disebabkan kelancaran perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis setelah Jambatan Batang Rajang dibuka untuk orang ramai sejak Khamis lalu, tetapi ‘tersadai’ di pangkalan feri Batang Paloh.
Dengan siapnya jambatan Batang Rajang, memendekkan perjalanan kepada hanya kira-kira 30 hingga 45 minit dari Sarikei ke pangkalan feri Batang Paloh, berbanding lebih dua sejam yang terpaksa melalui Sibu sebelum ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad yang turut terperangkap dalam kesesakan itu menyifatkan insiden berkenaan sebagai pengalaman baharu.
“Salam 29 Ramadan semua. Alhamdullilah hari ini 29-30/3/2025 berkesempatan merasai pengalaman bersama ratusan mungkin juga ribuan pengguna feri yang lain menunggu feri Batang Paloh selama 6 jam (9.05 malam-3.10 pagi) dan mungkin ada yang lebih lama.
“Ini merupakan sejarah meskipun menggunakan feri sepanjang kehidupan saya bukan sesuatu yang asing,” katanya dalam catatan di facebook.
Bagaimanapun, beliau ‘salute’ kepada pekerja feri yang tidak kenal penat dan lelah berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik.
Orang ramai juga meminta pihak berkuasa menggunakan feri lebih besar yang boleh memuatkan sehingga 30 atau 35 kereta di pangkalan feri Batang Paloh, bukan satu feri besar sahaja bersama dua lagi feri kecil.
“Kalau boleh sediakan dua feri besar atau tiga sekali gus untuk lebih melancarkan perjalanan,” kata warganet.