Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Orang ramai dinasihat elak pembakaran terbuka sepanjang musim kering
  • SEMASA

Orang ramai dinasihat elak pembakaran terbuka sepanjang musim kering

Utusan Sarawak 7 hours ago
KEBAKARAN hutan di Kampung Penasu, Daro baru-baru ini. Foto Bomba Sarawak.

KUCHING: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak menasihati orang awam di seluruh negeri supaya tidak melakukan pembakaran terbuka tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Nasihat ini disifatkan amat penting terutama ketika musim panas dan cuaca kering yang sedang dialami di Malaysia, kerana risiko jerebu dan kebakaran tidak terkawal meningkat pada waktu ini.

Menurut JAS, larangan pembakaran terbuka juga bertujuan mencegah kemerosotan kualiti udara akibat pencemaran yang serius, khususnya semasa musim kering.

Aktiviti pembakaran terbuka merangkumi pembakaran sisa pertanian, semak samun atau belukar, buangan domestik atau buangan binaan, pembakaran di tapak pelupusan atau tanah gambut, serta pembakaran terkawal tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa.

Pencemaran daripada asap pembakaran terbuka boleh menjejaskan kesihatan awam, termasuk risiko asma, batuk dan bronkitis akibat zarah halus (PM2.5), masalah pernafasan dan jantung terutamanya bagi bayi, warga emas dan pesakit penyakit kronik, selain iritasi pada mata, tekak dan hidung yang mengurangkan kualiti hidup penduduk.

Kesan terhadap alam sekitar pula meliputi pencemaran udara dan jerebu dengan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU), kemerosotan kualiti tanah dan air, kerosakan flora dan fauna serta ekosistem hutan dan tanah gambut, selain peningkatan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.

Mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 pindaan 2024.

Kesalahan ini boleh membawa kepada denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, denda tambahan sehingga RM5,000 boleh dikenakan bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas notis diberikan. Pihak berkuasa juga boleh mengenakan kompaun maksimum sebanyak 50 peratus daripada kadar denda maksimum.

JAS menggesa orang ramai bekerjasama menangani isu pencemaran dan menggalakkan mereka melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, yang beroperasi 24 jam, atau menghantar e-mel ke aduan_k@doe.gov.my serta menggunakan portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Continue Reading

Previous: Kerajaan perhebat penguatkuasaan tangani bekalan minyak, subsidi terus dikekalkan
Next: Harga minyak naik lagi, Brent meningkat hingga AS$120 setong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.