Orang ramai dijemput sertai Larian Amal Muzium Memorial LKHH

Facebook
WhatsApp

SIBU: Orang ramai dijemput menyertai Larian Amal Ulang Tahun Ke-30 Muzium Memorial Lau King Howe Hospital (LKHH) 2026 pada 13 Disember ini, yang menyasarkan penyertaan 1,000 peserta.

Pengerusi Persatuan Muzium Memorial LKHH, Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming berkata, larian sejauh lima kilometer itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, malah memberi peluang kepada orang ramai mengenali sejarah Muzium Memorial LKHH.

“Kita mahu orang ramai lebih mengenali sejarah Muzium Memorial LKHH yang merupakan satu-satunya muzium perubatan di Malaysia,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, acara itu dianjurkan bersama Gabungan Persatuan Cina (UCA) Sibu, Xsports Club dan Sibu Swan Cycling Club, manakala Dataran Tun Tuanku Bujang sebagai lokasi permulaan dan penamat.

“Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 seorang, manakala pendaftaran dibuka sehingga 30 September ini.

“Setiap peserta akan menerima baju rasmi acara dan pingat penamat, selain berpeluang menyertai cabutan bertuah,” katanya.

Lau berharap orang ramai memberikan sokongan terhadap penganjuran program itu bagi tujuan mengumpul dana menampung kos operasi Muzium Memorial LKHH.

Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pendaftaran menerusi kod QR Google Form atau WhatsApp Community yang disediakan pada poster rasmi program.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Muzium Memorial LKHH di talian 084-338070, UCA Sibu (084-211269), Sia Ing Kiat (016-8550053), John Ting (013-8479509) atau Alan Ngu (016-8661099).

Oleh Akun Giman