SARIKEI: Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan Pesta Pulau Bruit pada 13 hingga 15 September ini, yang bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 14 September nanti.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab (gambar) berkata, pesta tersebut merupakan kali kedua penganjuran selepas kejayaan penganjurannya pada tahun lalu.
“Pesta Pulau Bruit kali ini akan berlangsung di Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) Kampung Semop.
“Sebenarnya, ia bermula lebih awal lagi iaitu pada 1 September dengan penglibatan setiap ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di pulau ini.
“Terdapat 12 kampung dan sebuah rumah panjang di kawasan ini telah atau sedang menganjur beberapa sukan seperti bola sepak, futsal, sepak takraw bola jaring yang diadakan di setiap kampung mulai 1 September sehingga 12 September ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Gerak Kerja KRT Sihat: Sukan Perpaduan KRT Daerah Sarikei bertempat di Kompleks Sukan Integrasi, Kampung Baru Seberang Sarikei semalam.
Yusuf berkata Premier Sarawak dijadual merasmikan pesta itu pada jam 10 pagi 24 September.
“Jadi kita ingin menjemput semua penduduk di kawasan sekitar Pulau Bruit supaya datang beramai-ramai bukan sahaja pada hari perasmian dan hari pameran, malah ke acara-acara sukan yang telah dirancang di setiap kampung dan sekarang ini masih berjalan lagi.
“Kita harap program sebegini akan memperkenalkan lagi Pulau Bruit di mata rakyat di seluruh negeri.
“Pesta kali ini dilihatkan sebagai platform penting untuk mempromosi sosial dan budaya masyarakat Pulau Bruit yang sinonim dengan perikanan dan pertanian,” katanya.
Oleh Earl Anek