KUCHING: Orang ramai dijemput untuk memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang Pahlawan Iban Tracker Sarjan (B) Dato Awang Raweng, yang dibawa ke Kuching untuk upacara penghormatan peringkat negeri pada Ahad dan Isnin ini.
Pada Ahad, jasad mendiang bertolak dari Sri Aman ke Kuching 10.00 pagi dan dijangka tiba di Dewan Suarah Kuching pada 1.00 petang.
Justeru, orang ramai dijemput untuk hadir bagi memberikan penghormatan akhir bermula 2.00 petang dan seterusnya diikuti upacara sembahyang pada 6.00 petang yang akan dipimpin oleh Paderi Gereja St. Thomas.
Sementara itu, jasad mendiang akan dikebumikan pada Isnin ini (21 September), 11.30 pagi di Makam Pahlawan di Taman Budaya selepas upacara sembahyang.
Sebelum pengebumian, upacara sembahyang akan diadakan terlebih dahulu di Dewan Suarah Kuching pada 10.00 pagi dan orang ramai dijemput hadir bermula 9.00 pagi bagi memberikan penghormatan.
Untuk rekod, mendiang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 petang pada Jumaat lalu di rumah anaknya di Taman Padri, Sri Aman.
Mendiang yang berusia 91 tahun dari Nanga Skrang, Engkilili telah dikurniakan pingat kebesaran George Gross pada 20 November 1951 setelah terlibat dalam pertempuran dengan 50 pengganas komunis di Johor, Malaya (kini Semenanjung Malaysia) sebelum itu.
Mendiang ketika itu dilaporkan bertugas dengan Platun 10, Kompeni D, Batalion Pertama, Rejimen Worcestershire, ketika pengganas komunis menyerang hendap mereka dan membunuh Komander Seksyen, dua anggota platun dan seorang teraju peronda.
Dalam kejadian berkenaan, mendiang Awang bertindak dan menyelamat salah seorang anggota yang sedang cedera iaitu Prebet G.Hughes walaupun beliau sendiri mengalami kecederaan dalam serangan itu.
Mendiang Awang dilaporkan mengenggam sebutir bom tangan untuk mengelak pengganas komunis menyerang kedudukan mereka sebelum musuh berundur dari kawasan tersebut 40 minit kemudian.
Selain itu, mendiang juga merupakan penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebab menghargai pengorbanan yang dicurahkan demi keselamatan negara.
Oleh Zarina Abdullah