
SIBU: Unit Transfusi Darah Hospital Sibu menggesa orang ramai, khususnya penderma darah tetap dan baharu, agar tampil menderma darah sempena musim perayaan yang bakal tiba bagi memastikan bekalan darah mencukupi dan berterusan.
Bank Darah Hospital Sibu dalam kenyataannya yang dikeluarkan di Facebook memberitahu, kempen derma darah anjuran Parti Demokratik Progresif (PDP) Wilayah Tengah di Bangunan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sibu pada 1 Jun ini.
Selain itu, sesi derma darah secara walk-in juga dibuka di Bilik 55, Bank Darah Hospital Sibu pada 5 dan 6 Jun.
“Tujuan utama kempen ini adalah untuk memastikan stok darah sentiasa berada pada tahap mencukupi, terutama sekali menjelang musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan keperluan terhadap darah,” kata kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Transfusi Darah Hospital Sibu di talian 084-343333 sambungan 2010.
Unit Transfusi Darah Hospital Sibu juga menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan kemurahan hati para penderma yang terus memberikan sokongan dalam menyelamatkan nyawa.
Oleh Akun Giman