
PUTRAJAYA: Orang ramai digalakkan untuk memuat turun aplikasi RTM Klik bagi memastikan mereka dapat menonton perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siaran perlawanan Piala Dunia itu akan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV, selaku penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia.
“Ini kali pertama dalam tempoh 20 tahun kita sediakan tayangan Piala Dunia secara percuma untuk semua rakyat Malaysia.
“Apa yang rakyat Malaysia perlu buat untuk pastikan mereka tidak ketinggalan menonton secara percuma? Muat turun RTM Klik, atau boleh tonton di mana-mana melalui MyTV dan RTM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Bulan Mei 2026, di sini, hari ini.
Fahmi turut meminta RTM dan Unifi TV meneliti siaran perlawanan bola itu agar tiada halangan yang boleh menjejaskan pengalaman rakyat untuk menikmati tayangan kejohanan tersebut.
“Saya minta supaya nanti diteliti untuk pastikan tidak ada halangan yang keterlaluan untuk rakyat Malaysia menikmati tayangan secara langsung,” katanya.
Beliau berkata, beberapa program akan dianjurkan menjelang bermulanya kejohanan Piala Dunia tersebut.
Minggu lepas, Fahmi berkata siaran Piala Dunia FIFA 2026 akan disiarkan di pelbagai platform termasuk siaran percuma melalui MyTV serta platform OTT (platform penstriman) menerusi RTM Klik dan Unifi TV bagi memastikan akses menyeluruh.
Katanya, kesemua 104 perlawanan akan disiarkan secara langsung di Unifi TV, manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau tertunda.
Amerika Syarikat (AS) menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026 bersama Mexico dan Kanada dengan aksi pembukaan berlangsung di Mexico City (Mexico) pada 11 Jun ini, manakala acara final dijadual berlangsung di New Jersey (AS) pada 19 Julai.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj. – Bernama