TIGA tahun lalu, Makkah dan Madinah, dua lokasi tumpuan umat Islam sejagat untuk menunaikan fardu haji dan umrah, kosong gara-gara pandemik Covid-19.
“Kami sekeluarga cuma duduk di rumah, makan tidur selama beberapa bulan. Tidak boleh keluar sesuka hati kerana sekatan dan sesiapa yang engkar kena denda tinggi oleh pemerintah,“ kata Shahab dari Bangladesh tetapi sudah lama menginap di Makkah.
Namun, katanya, sejak setahun lalu segala-galanya berubah. Sempadan sudah dibuka, lapangan terbang beroperasi seperti biasa, gedung perniagaan kembali beroperasi sepenuhnya.
“Bayangkan dua tiga tahun lalu, banyak kedai terpaksa ditutup kerana tiada pelanggan terutama dari luar negara yang mengerjakan umrah dan haji.
“Alhamdulilah, hari ini kehidupan sudah seperti biasa. Ribuan warga asing datang untuk menunaikan umrah saban hari,” katanya yang berniaga di pusat beli-belah popular Menara Safwa, bersebelahan Menara Jam Makkah.
Menara jam Makkah dengan ketinggian 601 meter, adalah gedung menara jam ketiga tertinggi di dunia.
Menurut Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah, ekonomi Arab Saudi kini bangkit semula daripada kesan pandemik Covid-19 dan yakin dapat bantu kukuhkan pelbagai sektor yang terjejas teruk.
Katanya, tanda-tanda pengukuhan ekonomi sudah mula kelihatan terutama sektor yang berkaitan ibadah haji dan umrah.
“Kerajaan Arab Saudi mengambil segala langkah perlu bagi memastikan keselamatan semua penduduk, warga asing dan jemaah haji serta umrah yang berkunjung ke Makkah.
“Saya harap ini dapat merancakkan semula sektor berkaitan haji dan umrah yang terjejas paling teruk akibat ancaman koronavirus,” katanya ketika perjumpaan dengan usahawan dan pelabur sektor haji serta umrah baru-baru ini, seperti dilaporkan agensi berita asing.
Kini ada tujuh penerbangan sehari dari Kuala Lumpur ke Jeddah dan Madinah. Setiap penerbangan membawa kira-kira 280 penumpang. Ini bermakna, 1,960 penumpang sehari, kebanyakannya untuk menunaikan umrah.
Tidak hairanlah apabila anda berada di bumi haram ini, terasa seperti situasi di Malaysia atau Indonesia dari segi kehadiran, kerana ramai dari dua negara ini menunaikan umrah, terutama dari Indonesia.
“Saya lihat orang Malaysia dan Indonesia selain Thailand adalah ‘kaki shopping’ di Makkah,” kata Shahab kepada penulis sambil menyifatkan orang Malaysia murah rezeki serta turut menyumbang ekonomi untuk negara Arab.
Shahab memiliki kedai menjual pelbagai jubah, kurta dan pakaian wanita di Menara Safwa berdekatan Masjidil Haram. Kenyataannya itu serupa seperti kata peniaga di Madinah, yang menggelarkan rakyat Malaysia sebagai ‘orang kaya’ kerana suka membeli-belah.
Tidak hairanlah kebanyakan peniaga di Madinah dan Makkah fasih berbahasa Melayu – sama ada bahasa Indonesia atau Malaysia. Mereka yang pernah menjejak kaki di bumi haram ini pasti tahu keadaan ini.
Namun, ramai juga orang Malaysia bekerja di Makkah.
“Ada doktor dan jururawat dari Malaysia bertugas di Makkah. Malah jurutera dari Malaysia yang menjaga Menara Jam di Makkah selain menjadi pemandu kereta api,” kata seorang pegawai Tabung Haji.
Di Makkah katanya, ramai pekerja binaan dan buruh kasar adalah dari Pakistan dan Bangladesh. Tetapi bila tiba Ramadan, yang paling ramai adalah warga negara teluk.
Hakikatnya, Makkah menjadi tuan rumah kepada berjuta-juta jemaah haji yang mengerjakan ibadat itu pada setiap tahun. Apabila Arab Saudi melarang umat Islam dari luar negara untuk menunaikan haji dua tahun lalu disebabkan Covid-19, ekonominya terjejas teruk.
Khemah untuk jemaah haji dua tahun lalu dikatakan kosong selepas Arab Saudi mengehadkan kurang 10,000 umat Islam boleh menunaikan haji. Jumlah itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan 2.5 juta jemaah haji sebelum Covid-19.
Ibadat haji dan umrah memberikan hasil pendapatan AS$12 bilion (RM51.42 billion) sekali gus merancakkan ekonomi di Makkah iaitu tempat tinggal dua juta penduduk yang berlatar belakangkan sebuah menara pencakar langit di kawasan paling suci untuk umat Islam.
Kemuncak pembinaan sejak beberapa tahun lalu telah menambahkan pusat beli-belah, apartmen dan hotel-hotel mewah yang sebahagiannya menawarkan pemandangan indah Kaabah.
Sekarang ini pun kelihatan sektor pembinaan sedang rancak, memperlihatkan ekonomi Arab Saudi kembali berkembang. Hotel dan pusat beli-belah sekitar Masjidil Haram, kembali bernafas.
“Alhamdulilah, keadaan bertambah baik sekarang. Bayangkan masa Covid-19, tiada umrah dan operasi haji tiada atau dihadkan selama dua musim juga bermakna perniagaan terjejas yang bergantung dengan jemaah haji dan umrah bagi menyokong ratusan ribu pekerjaan serta kedai-kedai cenderamata.
“Kebanyakannya diberhentikan kerja, gaji dipotong dan ada pembayaran gaji yang ditangguhkan, ketika Covid-19,” kata seorang pekerja Pakistan, Hussein Ahmed, 45, yang bekerja dengan sebuah agensi pelancongan di Makkah.
“Kami tidak pernah melihat Makkah kosong,” katanya mengimbas keperitan semasa Covid-19 melanda dunia.
Alhamdulilah, moga ekonomi sejagat termasuk negara Arab terus berkembang pesat selepas era Covid-19.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak