
MUKAH: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Skoyan, di sini, telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat, semalam hasil operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak melalui Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada Rabu lalu, 8.46 malam berhubung kehilangan mangsa, Ibek Binti Ibut, berusia 83 tahun. Mangsa dilaporkan keluar dari rumah kira-kira 6.40 petang, dipercayai menuju ke arah sungai atau kebun sebelum disedari tidak pulang ke rumah.
Ahli keluarga bersama penduduk kampung telah menjalankan pencarian awal di sekitar kawasan kediaman mangsa, namun gagal menemuinya. Mangsa dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai atau sesat di kawasan hutan berhampiran.
Susulan itu, sebuah jentera Hilux bersama tiga orang anggota dari BBP Mukah telah digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada 9.10 malam, melibatkan jarak perjalanan sejauh 24 kilometer. Operasi pencarian dijalankan di bawah komando PBK I Stephen Plen.
Pada hari kedua operasi, Bilik Kawalan BBP Mukah menerima makluman daripada penduduk kampung pada 8.01 pagi bahawa mangsa telah ditemui kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa dalam keadaan selamat. Mangsa kemudiannya dibawa oleh ahli keluarga ke hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut.