MASYARAKAT Cina merupakan sebahagian daripada penduduk Sarawak yang hidup harmoni dengan masyarakat lain. Kehadiran mereka ini membentuk kepelbagaian budaya yang unik dan tersendiri di Sarawak.
Keunikan budaya masyarakat Cina ini kadangkala mempengaruhi kehidupan masyarakat Bumiputera. Hubungan baik mereka dengan penduduk tempatan menjadi faktor yang penting memperkukuhkan perpaduan penduduk Sarawak.
Dari segi sejarahnya, memang telah ada hubungan Sarawak dan China seperti dibincangkan dalam wacana terdahulu. Namun, bila mereka mula menetap dan tinggal dalam Sarawak menimbulkan persoalan.
Lombong Emas
Secara umumnya, migrasi awal masyarakat Cina boleh dikesan dengan kehadiran penduduk Hakka di Sarawak sekitar abad ke-19. Fakta yang menarik, mereka yang datang ini bukan terus dari China tetapi dari Sambas.
Kehadiran mereka di Sambas adalah berkaitan dengan lombong emas di Kalimantan Barat. Penambahan Mempawah yang melihat kejayaan membawa masyarakat Cina di Bangka mempengaruhi beliau mengikut jejak yang sama. Beliau mula membawa penduduk Cina ini pada tahun 1740-an.
Apabila berlaku kehausan dalam simpanan emas di Sambas dan Pontianak, masyarakat Cina ini mula mencari alternatif bagi memulakan kehidupan baharu. Ketika itu emas mula dilombong di Bau, Sarawak. Oleh sebab itu, penduduk Cina ini bergerak ke Sarawak untuk mengusahakan perlombongan ini.
Kehadiran mereka ini membawa kepada kemunculan satu lembaran baharu dalam sejarah Sarawak. Hal ini kerana mereka mula mendirikan kongsi tersendiri untuk mentadbir masyarakat Cina di Bau. Pada Ogos 1950, kehadiran orang Cina ke Sarawak bertambah apabila berlaku kekacauan di Pamangkat.
Sekitar tahun 1840-an, orang Cina dari Singapura datang dan berhijrah ke Kuching. Mereka ini terdiri daripada orang Cina dialek Hokkien, Teochew dan sebahagian kecil Kantonis.
Mereka ini terlibat dalam bidang peniagaan dengan membuka kedai-kedai di bandar Kuching. Mereka juga membina kuil seperti Tua Pek Kong di tebing Sungai Sarawak.
Pemberontakan
Hubungan antara orang Cina di Bau dengan pentadbiran Brooke ketika itu pula semakin merosot ekoran keinginan Brooke mengawal masyarakat Cina di Bau. Akibatnya, pada awal tahun 1857, berlaku penentangan penduduk Cina ke atas pentadbiran Brooke di Kuching.
Namun demikian, pemberontakan ini digagalkan oleh pentadbiran Brooke. Serangan balas pasukan tentera Brooke mengakibatkan ramai penentang ini yang terkorban di Bau.
Selepas episod ini, tiada lagi berlaku penentangan ke atas pentadbiran Brooke. Episod yang hampir meragut nyawa Raja James Brooke ini tidak membawa kepada usaha menghalang kehadiran masyarakat Cina ini di Sarawak. Pada peringkat awal, beliau amat risau dengan kebanjiran orang Cina ke Sarawak. Namun, beliau mempunyai rancangan untuk mengambil buruh-buruh Cina pada penghujung pemerintahannya.
Migrasi Ke Pedalaman
Usaha untuk mengambil buruh-buruh Cina ini diteruskan oleh anak saudara beliau, iaitu Raja Charles Brooke. Usaha mengambil buruh Cina ini dilakukan pada tahun 1880 apabila wilayah Sarawak berkembang ke utara. Raja Charles Brooke telah membawa buruh-buruh Cina ini untuk ditempatkan di hilir Sungai Rajang. Seramai kiri-kira 500 orang Cina telah dibawa ke kawasan tersebut.
Beliau memberi tanah kepada penduduk Cina ini berserta elaun bulanan berbentuk beras dan garam. Untuk tujuan komunikasi maka kapal steamer akan menghubungi mereka dengan Kuching. Raja Charles Brooke berharap agar penduduk Cina ini akan duduk kekal di hilir Rajang.
Usaha yang Raja Charles Brooke buat ini membawa kepada pertambahan penduduk Cina dari kira-kira 5000 orang pada tahun 1871, kepada kira-kira 7000 orang pada tahun 1887. Penduduk Cina yang tinggal di hilir Rajang juga mula bergerak ke kawasan hulu Rajang. Hal ini membawa kepada kewujudan 30 orang Cina berada di Sibu pada tahun 1883.
Orang Cina ini juga mula membuka kedai di kawasan pedalaman Sarawak seperti Kanowit. Mereka juga mula terlibat dalam industri pembalakan. Industri ini membawa kayu belian Sarawak dieksport hingga ke Hong Kong.
Orang Foochow
Kemunculan masyarakat Cina secara besar-besaran di Rajang mula dilihat dengan usaha Raja Charles Brooke berunding dengan Wong Nai Siong untuk membawa buruh-buruh Cina dialek Foochow. Menerusi perjanjian ini, pada tahun 1901, Wong Nai Siong dan Lek Chiong membawa seramai kira-kira 1000 orang Cina ke Lembah Rajang.
Pihak kerajaan pula berjanji memberi pinjaman sebanyak $30 kepada orang dewasa dan $10 kepada kanak-kanak. Tambang ke Sarawak juga akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak. Orang Cina ini juga akan menerima sebanyak tidak kurang daripada tiga ekar tanah yang bebas cukai selama 20 tahun, dan akan membayar cukai pintu sebanyak 10 sen seekar.
Tujuan membawa buruh-buruh Foochow ini adalah untuk mengusahakan kawasan penanaman padi. Namun demikian, usaha ini gagal dijalankan kerana ramai daripada kalangan mereka ini menanam getah apabila tanaman komersial itu diperkenalkan.
Selain orang Cina dialek Foochow yang datang ke Sarawak, terdapat satu lagi usaha dibuat untuk membawa orang Cina dialek Kantonis ke Sarawak menerusi perjanjian dibuat pada Mac 1901. Pada tahun 1911, golongan mubaligh Methodist membawa kumpulan orang Cina dialek Henghua ke Sibu.
Pentadbiran
Bagi mengawal penduduk Cina ini pihak kerajaan melantik ketua mereka yang dikenali sebagai Kapitan. Ada juga jawatan Kangchew diwujudkan untuk menjadi pegawai perhubungan antara kerajaan dengan masyarakat Cina.
Pada peringkat awal, masyarakat Cina ini dibenarkan mengekalkan undang-undang adat mereka, kecuali perkara-perkara yang dianggap bertentangan dengan tamadun seperti menjual anak. Bagi urusan perkahwinan, perceraian, pewarisan dan kematian tanpa wasiat perlu didaftarkan dengan pihak kerajaan.
Pendidikan
Pada peringkat awal perkembangan pendidikan dalam kalangan orang Cina ini juga telah digerakkan oleh pihak pegawai Brooke. Pegawai-pegawai ini pernah mendirikan sekolah vernakular Cina di Paku (1870) dan Bau (1892).
Namun demikian, orang Cina di Sarawak seperti di beberapa negara di Asia Tenggara mempunyai tanggungjawab untuk memelihara kebudayaaan mereka sendiri. Oleh hal sedemikian itu, orang perseorang dan persatuan Cina juga berperanan membangunkan pendidikan anak-anak mereka.
Oleh sebab itu, jumlah sekolah vernakular Cina telah tumbuh pesat berbanding sekolah jenis lain. Pada tahun 1938, terdapat sebanyak 144 buah sekolah Cina dan jumlah ini merangkumi 66 peratus daripada keseluruhan sekolah yang ada di Sarawak ketika itu.
Semangat Kebangsaan
Pada zaman Brooke ini juga hubungan orang Cina dan Tanah Besar China amat rapat. Hal ini kerana, penjajahan kuasa asing ke atas China dan ketidaktentuan politik serta masalah kehidupan rakyat yang dilanda bencana alam membawa sikap keprihatinan penduduk Cina ke atas China.
Hal ini boleh dilihat dengan perayaan ulang tahun ke-17 penubuhan Republik China. Penduduk Cina memperingati hari itu sebagai hari penting dalam pembentukan episod baharu dalam sejarah China.
Sementara itu, kejadian banjir di Swatow pada tahun 1922 juga mendapat perhatian masyarakat Cina. Mereka menyebarkan risalah dan mengutip derma untuk didermakan kepada mangsa banjir.
Sementara itu, kedatangan Jepun menakluk Sarawak membawa pula bab baharu dalam kehidupan masyarakat Cina. Kesukaran hidup mereka ini dikongsi bersama dengan penduduk Bumiputera. Namun, mereka berjaya mengharungi cabaran ini sehingga Malaysia dibentuk.
- Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.