


KEADAAN di Lachau Jinggau petang tadi yang dirakamkan dari Bukit Begunan, di sini.
SIMANGGANG: Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh menasihatkan orang awam agar mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan risiko kesihatan susulan cuaca panas dan kering yang melanda negeri ini.
Nasihat itu dikeluarkan ekoran peralihan Monsun Barat Daya yang kini menyebabkan cuaca lebih panas daripada kebiasaan, termasuk beberapa tompok panas yang dikesan di Sarawak seperti di Kampung Lachau Jinggau, Sri Aman sebagaimana dilaporkan media semalam.
“Keadaan ini berpunca daripada kekerapan pembentukan ribut tropika di kawasan barat Lautan Pasifik, khususnya sekitar perairan Filipina, yang menyumbang kepada kurangnya pembentukan awan hujan di Sarawak.
“Fenomena ini adalah kebiasaan setiap kali Monsun Barat Daya menjelang Ogos dan membawa kesan ketara seperti peningkatan suhu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mahra, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sri Aman, turut memaklumkan bahawa Monsun Barat Daya dijangka berterusan sehingga September, dengan hujan yang berkurangan di negeri ini dalam tempoh tiga hingga empat hari akan datang.
Beliau menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar dalam tempoh yang lama, terutama pada waktu tengah hari, bagi mengelakkan risiko kesihatan seperti strok haba dan keletihan melampau.
“Golongan berisiko tinggi seperti petani dan nelayan perlu lebih berhati-hati. Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong sehari dan segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berkaitan cuaca panas seperti pening, keletihan atau kekejangan otot,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelakkan risiko jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
“Walaupun setakat ini belum ada laporan mengenai jerebu rentas sempadan, kita tidak boleh ambil mudah. Aktiviti pembakaran terbuka harus dikawal supaya tidak menjejaskan Indeks Pencemaran Udara (IPU),” tegasnya.
Mahra turut menggesa penggunaan air secara berhemah dan menyarankan amalan pengurusan sumber yang bijak bagi mengelakkan pembaziran ketika musim kering ini.
Antara kawasan tompok panas lain yang turut dikesan di Sarawak termasuk Kampung Selarat (Kuching), Rumah Pilai (Sibu), Rumah Lusong Laku (Kapit), dan Long Tuyut (Limbang).
Oleh Adi Safarman