KOTA SAMARAHAN: Orang awam diberi ruang untuk mengemukakan pandangan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang sedang dikendalikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, apabila cadangan kawasan dipamerkan kepada umum, semua pihak mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan terhadap cadangan yang telah dibentangkan.
“Apabila terdapat paparan kawasan yang dicadangkan kepada umum, semua pihak mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan terhadap apa yang telah dibentangkan.
“Orang awam juga diberikan peluang untuk mengemukakan pandangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu program di Unimas, hari ini.
Ditanya mengenai saluran untuk mengemukakan bantahan terhadap cadangan berkenaan, Uggah berkata perkara itu boleh dilakukan melalui SPR.
“Saya fikir Suruhanjaya Pilihan Raya. Mereka menyediakan ruang untuk berbuat demikian, sebab itu mereka mengadakan pameran,” jelasnya.
Kenyataan Uggah itu susulan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang supaya SPR mempertimbangkan pewujudan satu kerusi DUN baharu di bawah Parlimen Selangau yang dicadangkan dinamakan DUN Bukit Arip.
Untuk rekod, Christopher sebelum ini menyuarakan kekecewaan kerana cadangan persempadanan semula yang dikemukakan SPR tidak memperuntukkan kerusi DUN tambahan bagi Parlimen Selangau yang kini merangkumi DUN Tamin dan Kakus.
Beliau menggesa SPR mempertimbangkan pewujudan DUN Bukit Arip melalui penyusunan semula sebahagian kawasan Tamin dan Kakus dengan mengambil kira keluasan lebih 9,000 kilometer persegi, jumlah penduduk melebihi 80,000 orang serta taburan kira-kira 750 rumah panjang di kawasan Selangau.
Menurut Christopher, Parlimen Selangau mempunyai 47,836 pengundi berdaftar, terdiri daripada 24,383 pengundi di DUN Tamin dan 23,453 pengundi di DUN Kakus.
Terdahulu, proses persempadanan semula itu dijalankan SPR bagi menyediakan syor baharu berikutan pertambahan 17 kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi.
Cadangan penambahan 17 kerusi itu diluluskan DUN Sarawak menerusi Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.
Bagaimanapun, kawasan dan sempadan bagi 17 kerusi baharu itu masih perlu ditentukan melalui proses persempadanan SPR sebelum penambahan berkenaan dapat dimuktamadkan untuk pelaksanaan pilihan raya.
Dalam perkembangan terkini, SPR berada pada peringkat akhir menyediakan syor persempadanan semula bahagian pilihan raya Sarawak dengan mengambil kira pertambahan 17 kerusi DUN berkenaan.
SPR juga telah memohon ruang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak kepada umum, yang akan membolehkan pandangan atau bantahan dikemukakan melalui proses yang ditetapkan.
Perkembangan itu menunjukkan proses penambahan 17 kerusi masih berada pada peringkat persempadanan dan belum selesai sepenuhnya untuk dilaksanakan dalam pilihan raya negeri.
Oleh Masrin Affirah





