SKUAD Sibu FA optimis pasukannya mampu mengorak langkah lebih jauh dan berazam berada dua pasukan terbaik bagi Zon Tengah dalam saingan Liga SSC-FAS 2021.
Justeru, Ketua jurulatih, Omar Mayah Mohd Abun berkeyakinan penuh melihat pasukan bimbingannya itu beraksi di pusingan ‘grand finale’ yang bakal diadakan di Bintulu pada Disember nanti.
“25 orang pemain kita sedang mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi baki-baki perlawanan yang bermula 30 Oktober ini.
“Buat masa ini para pemain telah diarahkan menjalani latihan kendiri sebelum kelulusan menggunakan padang bagi mengadakan latihan berpasukan diadakan. Kita yakin akan melangkah dengan jauh pada kejohanan kali ini,” tegasnya ketika dihubungi Utusan Sarawak semalam.
Jelasnya lagi, pasukan kendaliannya itu tidak mempunyai masalah melibatkan pemainnya biarpun terdapat beberapa orang pemain tidak dapat meneruskan komitmen bersama pasukan atas faktor peribadi.
“Pengurusan Sibu FA telah bertindak dengan pantas menggantikan pemain-pemain yang tidak dapat lagi beraksi dan saya harap semuan pemain memberi fokus sepenuhnya latihan sebelum menjelangnya perlawanan nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya pihak pengurusan telah memohon venue tuan rumah bagi Sibu FA diadakan di Padang Bola sepak Jalan Lada.
“Sebelum ini Sibu FA telah menggunakan Kompleks Sukan Bintangor diatas faktor peningkatan kes Covid-19 di Sibu, jadi untuk kali ini kita telah memohon venue dilangsungkan di Padang Bola sepak Jalan Lada dekat Lanang,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Sibu FA yang menghuni di tangga ketiga Zon Tengah telah mengutip satu mata hasil sekali seri dan sekali kalah.
Oleh ADI SAFARMAN