
KUALA LUMPUR: Polis hari ini mengesahkan ahli perniagaan Victor Chin Boon Loong antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Ops Viking dari 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari lepas.
Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman Datuk Fazlisyam Abd Majid berkata Chin telah ditahan pada Disember lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula sekiranya perlu.
Beliau berkata sembilan individu lain yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita yang dipercayai mempunyai kaitan langsung dalam siasatan kes itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis manakala 40 lagi telah dipanggil untuk memberi keterangan.
Fazlisyam juga berkata Op Viking dilaksanakan pada 14 Oktober tahun lepas berdasarkan maklumat dan risikan aktiviti pengubahan wang haram sejak 2018 dengan satu kertas siasatan dibuka pada 25 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Kes ini melibatkan beberapa individu yang kita syaki melakukan jenayah pengubahan wang haram dengan pelbagai cara antaranya membeli atau memiliki syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat persendirian,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata menerusi operasi itu, polis membeku dan menyita pelbagai aset termasuk lapan hartanah, 32 kenderaan dan 1,100 unit saham milik dua syarikat sendirian berhad, akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) bernilai RM323,588,293, akaun dagangan (RM64,246,417) dan 404 akaun bank berjumlah RM85,624,528.
Fazlisyam juga berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menguruskan wang yang berasal daripada aktiviti haram.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 27B dan Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 176 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 serta Seksyen 221 Akta Syarikat 2016.
Pada 16 Mac lepas, polis telah menyerbu beberapa premis milik Chin yang didakwa terbabit dalam manipulasi korporat.
Mengulas mengenai perkara itu, Fazlisyam berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan Chin bahawa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu manipulasi korporat yang dihadapinya.- Bernama