
KUCHING: Penguatkuasaan yang lemah boleh menjejaskan keseluruhan sistem kawalan subsidi meskipun kerajaan menyediakan pelbagai dasar dan bantuan kepada rakyat.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, keberkesanan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 bergantung kepada tahap pemantauan dan tindakan agensi penguatkuasaan di lapangan.
“Kerajaan boleh sediakan semua yang baik, subsidi dan sebagainya, tetapi jika pemantauan dan penguatkuasaan tidak dilaksanakan dengan baik, ia boleh merosakkan sistem.
“Kenaikan harga minyak global memberi kesan rantaian kepada kos tenaga dan seterusnya mempengaruhi harga barangan lain.
“Apabila harga minyak naik, kos tenaga meningkat dan memberi kesan kepada barangan lain. Di sinilah kerajaan perlu membuat pemantauan secara berterusan melalui penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Penganjuran Konsert Peringatan ke-31 sebagai Penghormatan kepada Teresa Teng 2026 di Sarawak Club, Jalan Taman Budaya, di sini, hari ini.
Tambah beliau, langkah kerajaan menubuhkan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu melibatkan pelbagai agensi termasuk pasukan keselamatan menunjukkan pendekatan proaktif dalam menangani isu tersebut.
“Ia menunjukkan kita proaktif dalam memastikan subsidi dan kawalan harga dilaksanakan dengan baik,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan bahawa ketirisan boleh berlaku sekiranya tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan berintegriti oleh pihak yang diamanahkan.
“Jika mereka yang dipertanggungjawabkan tidak menjalankan tugas dengan betul, semua usaha ini boleh terjejas,” ujarnya.
Untuk rekod, pasukan khas Ops Tiris 4.0 akan diwujudkan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai sekretariat, bagi memperkukuh pemantauan dan penyelarasan penguatkuasaan di peringkat negeri.
Oleh Masrin Affirah