
KUCHING: Cubaan menyeleweng diesel bersubsidi berjaya dipatahkan dalam satu operasi bersepadu menerusi Ops Tiris 4.0 yang dijalankan di Demak Laut, pagi tadi.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak, serbuan sekitar 9.30 pagi itu dilaksanakan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) hasil risikan terhadap sebuah premis yang disyaki menyimpan barang kawalan tanpa permit sah.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan menyimpan minyak diesel sebagai barang kawalan berjadual tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 4,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM8,600 disimpan di dalam sebuah tangki skid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, nilai keseluruhan rampasan termasuk peralatan dianggarkan berjumlah RM10,400.
“Sehubungan itu, satu kes telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 menerusi Ops 555 dan Ops Jeriji, iaitu berkaitan kesalahan memiliki barang kawalan dalam keadaan mencurigakan, dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Barang Kawalan 1974.
“Jika disabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun.
“Bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, KPDN Sarawak menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Orang ramai turut digesa tampil menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan salah laku perniagaan melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.