BINTANGOR, 14 Oktober: Tujuh individu ditahan dalam Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak yang dijalankan oleh pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong selama tiga hari, bermula 11 hingga 13 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, daripada jumlah tersebut, tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 24, 28 dan 30 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.
Katanya, ketiga-tiga suspek dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan air kencing di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong.
“Saringan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek di pejabat BSJND Meradong mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, dapati ketiga-tiga suspek tiada mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, kes melibatkan ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun,” katanya.
Dalam operasi sama, katanya, empat lelaki tempatan turut ditahan berkaitan kesalahan lampau sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sarikei.
“Dalam operasi yang sama juga, seramai empat lelaki tempatan turut ditahan bersabit kesalahan lampau dan masing-masing telah dituduh dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Sarikei serta dikenakan hukuman denda RM4,000, empat bulan penjara dan dua tahun pengawasan.
“Kesemua tertuduh dihukum penjara kerana gagal membayar denda,” katanya lagi.
Tegasnya, pihak polis IPD Meradong memandang serius sebarang kegiatan berkaitan penyalahgunaan dadah dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang terlibat dalam kesalahan tersebut.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis melalui penyaluran maklumat yang boleh membantu usaha membanteras kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” ujarnya.
Oleh Earl Anek




