
BINTANGOR: Tiga lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi serbuan Ops Tapis Khas yang dijalankan oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata ketiga-tiga suspek berusia 24, 29 dan 30 tahun itu ditahan sekitar jam 11.40 malam di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan Bintangor.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
“Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah, manakala dua lagi tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau dadah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Kami menggesa masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Tansli turut menasihatkan orang ramai agar segera memaklumkan kepada pihak polis sekiranya melihat individu mencurigakan di rumah kosong atau terbiar supaya risikan, pemantauan dan serbuan dapat dijalankan dengan segera.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek