
KUCHING: Polis Kota Samarahan menahan 91 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah menerusi Ops Tapis Khas Narkotik yang dijalankan dari 20 Oktober hingga Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Supt Damataries Lautin berkata, sepanjang operasi tersebut, seorang suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya, enam di bawah Seksyen 39A(1), 18 di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun, dan 65 individu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata, pelbagai jenis dadah turut dirampas termasuk 55.77 gram methamphetamine, 2.85 gram Erimin 5 dan 2 gram pil Nospan. Nilai keseluruhan rampasan dianggar berjumlah RM6,164.70.
Semua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Samarahan dan didakwa mengikut kesalahan masing-masing.

Damataries menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
Beliau menambah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan berat di bawah undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited membanteras dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, sambil menyifatkan dadah sebagai musuh nombor satu negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah boleh menghubungi talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau hotline JSJN Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng