
MUKAH: Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Tapis Khas di dua lokasi berasingan di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan pertama dijalankan lebih kurang jam 7.30 pagi, di tepi Jalan Kampung Litong, telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 26 tahun.
“Pemeriksaan badan yang dijalankan tidak menemui apa-apa barang salah. Suspek dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.

“Ujian urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang bekerja sebagai nelayan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Serbuan kedua, katanya, dijalankan lebih kurang jam 12.00 tengahari, di dalam bilik sebuah rumah panjang di kawasan Dijih Selangau, telah menahan seorang lelaki berumur 31 tahun telah.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai satu keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu. anggaran berat kasar dadah yang dirampas ialah 0.04 gram,” ujarnya.
Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut, ujian urin ke atas suspek mendapati beliau positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek mempunyai tiga rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah. Suspek juga disyaki terlibat dengan kes pecah rumah dan curi tong gas yang berlaku pada 27 mac 2026 di sebuah rumah panjang di Nanga Sebatu Selangau.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Katanya lagi, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit direman dua hari sehingga 31 Mac bagi melengkapkan siasatan.
Oleh Akun Giman