

KUCHING: Seramai 59 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah menerusi Ops Tapis Khas Narkotik yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari 6 Disember lalu hingga semalam.
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, operasi selama sembilan hari itu dijalankan bagi mengekang aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Kuching.
“Daripada jumlah tangkapan tersebut, dua individu ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, sembilan individu ditahan di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama, manakala 48 individu lagi ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam keseluruhan operasi ini, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, termasuk 23.84 gram dadah jenis methamphetamine dan 0.90 gram pil Erimin 5.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM2,682.40,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Mengulas lanjut, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegasnya.
Beliau menambah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus komited memerangi dadah bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah adalah musuh nombor satu negara. Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211,” ujarnya.