
BINTANGOR: Dua lelaki yang masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah ditahan polis dalam satu operasi Ops Tapis yang dijalankan di kawasan bandar Bintangor, semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 35 tahun tersebut ditahan kira-kira 12.05 tengah hari oleh sepasukan anggota Pasukan Petugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Meradong untuk menjalankan saringan air kencing.
“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Pihak kami memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan masalah tersebut.
“Kami menggesa supaya masyarakat menyalurkan maklumat kepada kami berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong.
“Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222,” katanya.
Oleh Earl Anek