Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Ops Siaga Raya, Kempen Keselamatan Kebakaran perkukuh kesiapsiagaan JBPM Sarawak
  • WILAYAH

Ops Siaga Raya, Kempen Keselamatan Kebakaran perkukuh kesiapsiagaan JBPM Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
LANCAR… Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian semasa melancarkan  Ops Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak 2026 yang diadakan di Miri, petang tadi. 

MIRI: Aspek keselamatan kebakaran perlu diberi keutamaan khususnya menjelang musim perayaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, tegas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ops Siaga Raya dan Kempen Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak 2026 yang diadakan di sini, petang tadi.

Menurut beliau, pelancaran operasi tersebut amat penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan JBPM Sarawak sentiasa berada pada tahap tertinggi menjelang musim perayaan.

“Musim perayaan sering menyaksikan peningkatan risiko kebakaran akibat penggunaan elektrik secara berlebihan, pemasangan lampu hiasan, aktiviti memasak yang berterusan serta pergerakan trafik yang tinggi.

“Keselamatan kebakaran di rumah tidak boleh dipandang ringan. Statistik tahunan kebakaran rumah jelas menunjukkan bahawa kecuaian kecil boleh membawa akibat yang besar, bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda malah turut mengancam nyawa,” katanya.

Dr Sim berkata, pendekatan pencegahan awal melalui pendidikan dan kesedaran komuniti seperti yang dilaksanakan menerusi program berkenaan amat bertepatan dan wajar diteruskan.

Beliau turut menjelaskan bahawa musim perayaan sering dikaitkan dengan peningkatan aktiviti memasak, penggunaan peralatan elektrik secara berlebihan serta pemasangan dekorasi dan bahan mudah terbakar yang boleh meningkatkan risiko kebakaran sekiranya aspek keselamatan diabaikan.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan Program Komuniti, Prihatin, Kediaman Selamat bersama JBPM Sarawak tahun ini merupakan langkah signifikan sebagai pencegahan awal melalui pemeriksaan keselamatan, pemantauan berterusan, advokasi serta penyebaran maklumat keselamatan kepada masyarakat.

“Saya menggesa seluruh masyarakat, khususnya penduduk di Miri, agar sentiasa mematuhi nasihat dan garis panduan keselamatan kebakaran yang telah ditetapkan.

“Keselamatan bukan sahaja tanggungjawab pihak berkuasa, malah merupakan tanggungjawab bersama seluruh komuniti,” ujarnya.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: APM Saratok pantas alih pokok tumbang, pulihkan laluan Nanga Batang Ulu Krian
Next: Pusat Komuniti Kampung Melango Baru dibina melalui RTP

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.