
LUNDU: Tujuh individu termasuk seorang pemandu ditahan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching selepas berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi Ops Serkap di Jalan Lundu–Biawak, Kampung Tanjam, semalam.
Operasi yang dianggotai seramai 10 pegawai penguat kuasa itu menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Grandis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.
Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan membawa enam penumpang warga asing selain seorang pemandu atau ‘transporter’ yang juga merupakan warga asing.

Kesemua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 26J, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
Kenderaan Mitsubishi Grandis yang dipercayai digunakan bagi tujuan penyeludupan turut disita untuk tindakan lanjut.