KUCHING: Seramai 750 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari pelbagai cawangan di seluruh Sarawak akan bertugas sepanjang Ops Selamat sempena Aidilfitri tahun ini bermula 20 hingga 27 April ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, operasi akan melibatkan 28 ibu pejabat polis daerah yang digerakkan untuk memantau dan mengadakan rondaan di kawasan lokasi ‘panas’ melibatkan 36 jalan raya persekutuan dan 20 jalan raya negeri tersebut.
“Seramai 750 pegawai dan anggota polis Kontinjen Sarawak dari pelbagai cawangan dan jabatan akan terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan memastikan rumah-rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat di seluruh Sarawak,” katanya.
Menurutnya, Ops Selamat bertujuan menurunkan kadar kemalangan jalan raya dengan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya selain mencegah jenayah pecah rumah, terutama ke atas rumah-rumah yang ditinggalkan semasa penghuni pulang bercuti.
Tambahnya, tumpuan Ops Selamat adalah di Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran terutama di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan kesesakan lalu lintas dan kawasan perumahan dan penempatan orang ramai.
“Jumlah lokasi rondaan operasi jalan raya bagi negeri Sarawak adalah sebanyak 56 lokasi yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.
“Kita mahu mewujudkan rasa selesa dan selamat di kalangan pengguna jalan raya iaitu dengan meletakkan pegawai dan anggota polis di (56) lokasi terpilih tersebut,” katanya.
Difahamkan 56 lokasi `hotspots’ adalah Kuching (3), Padawan (2), Bau (3), Lundu (1), Sri Aman (2), Lubok Antu (2), Saratok (2), Betong (3), Sarikei (2), Meradong (2), Julau (1), Kanowit (2), Sibu (2), Mukah (2), Dalat (2), Daro (1), Kapit (2), Song (1), Belaga (2), Bintulu (3), Tatau (1), Miri (4), Marudi (2), Limbang (1), Lawas (2), Kota Samarahan (3), Serian (1), dan Simunjan (2).
“Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang operasi ini pada masa sama mengharapkan operasi sedemikian dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan mencegah kejadian pecah rumah.