
LAWAS: Penduduk di daerah ini diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak tergesa-gesa, sebaliknya mengutamakan keselamatan ketika memandu dan menunggang kenderaan.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan berlakunya kemalangan sepanjang musim perayaan.
Beliau berkata, Program Advokasi dan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Op Selamat 26 Aidilfitri 2026 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas telah diadakan semalam.
“Program ini bertujuan memberi pendedahan dan panduan mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya, khususnya sepanjang tempoh Op Selamat kali ini.
“Selain itu, risalah keselamatan jalan raya, makanan ringan serta beg cenderahati turut diedarkan kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, program tersebut diadakan di Kilometer 1, Jalan Lawas-Trusan, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Lawas.
Op Selamat ke-26 berlangsung bermula 19 hingga 24 Mac 2026.
Program berkenaan turut dihadiri oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Lawas, ketua-ketua bahagian PDRM Daerah Lawas, pegawai kanan polis, ketua cawangan serta warga IPD Lawas.
Oleh Adeng Edrus