
SARIKEI: Seramai 20 warga asing ditahan oleh Unit Penguat Kuasa Imigresen (UPI) Sarikei dalam operasi bersepadu Ops Sapu dan Ops Mahir yang dijalankan pada 21 dan 22 Mei 2025.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi tersebut melibatkan seramai 14 pegawai UPI Sarikei yang menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi sekitar Sarikei dan Julau.
“Dalam serbuan ini, seramai 40 individu telah diperiksa, dan 20 warga asing ditahan bagi siasatan lanjut kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen,” jelas kenyataan itu.
Menurut JIM, kesemua warga asing yang ditahan merupakan lelaki.
Jabatan itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak menggaji atau melindungi warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
“Kerjasama daripada komuniti amat penting dalam memastikan undang-undang imigresen sentiasa dipatuhi,” tambah kenyataan tersebut.
Oleh Earl Anek