
SARIKEI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Sarikei berjaya menumpaskan kegiatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi Operasi SAPU yang dijalankan di kawasan Estet Ulu Pedanum, Jalan Pakan, awal pagi tadi.
Operasi tersebut yang diketuai Bahagian Penguatkuasa JIM Sarikei melibatkan 12 orang pegawai imigresen, hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti PATI di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, serbuan yang dijalankan sekitar 2.00 pagi itu telah membawa kepada penahanan 17 individu warga Indonesia, terdiri daripada 14 lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak.
“Kesemua mereka disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelas kenyataan itu.
Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Sarikei untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Imigresen bagi tindakan lanjut.
Operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
JIM Sarawak dalam kenyataan itu turut menegaskan komitmen berterusan pihaknya untuk memperkukuh kawalan sempadan dan membanteras kemasukan PATI bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman