
SRI AMAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak berjaya menahan 38 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan yang dinamakan operasi Ops Sapu Gempur Rumah Pekerja Ladang di kawasan Ladang Sawit, Lingga, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media JIM Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching hasil risikan dan pemantauan rapi bagi membanteras keberadaan warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen negara.
Operasi tersebut memberi tumpuan kepada pemeriksaan rumah-rumah pekerja ladang yang dipercayai menjadi penempatan warga asing tanpa dokumen sah serta individu yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Pasukan operasi berdepan cabaran besar untuk tiba di lokasi sasaran memandangkan kedudukan rumah pekerja terletak jauh di tengah kawasan ladang sawit dan sukar diakses.

Keadaan muka bumi yang mencabar serta laluan yang sempit memerlukan tahap ketahanan fizikal dan komitmen tinggi dalam kalangan pegawai Imigresen yang terlibat bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan dengan lancar.
Selain itu, pasukan penguat kuasa turut mengesan cubaan menghalang tindakan penguatkuasaan apabila laluan masuk ke kawasan sasaran sengaja dihadang menggunakan bongkah kayu dan jentera berat yang merentangi jalan.
Walau bagaimanapun, segala halangan tersebut tidak mematahkan semangat pasukan operasi yang terus mara ke lokasi bagi memastikan undang-undang negara dikuatkuasakan tanpa kompromi.
Hasil pemeriksaan di lokasi, seramai 57 penghuni telah diperiksa dan disoal siasat oleh pasukan penguat kuasa Imigresen.

Daripada jumlah tersebut, seramai 38 orang warga asing telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tujuan siasatan lanjut serta tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada.
JIM menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen dan mengekang sebarang aktiviti yang menyalahi peraturan, khususnya di Sarawak.
Oleh Adi Safarman