
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak telah menjalankan operasi, iaitu Ops Sapu dan Ops Belanja, pada 20 dan 21 Mei, semalam.
Kedua-dua operasi ini melibatkan 30 anggota penguatkuasa di lapan lokasi berbeza di sekitar bandar ini.
Seramai 64 individu berjaya ditahan semasa operasi tersebut, terdiri dari 55 lelaki dan sembilan wanita.
Kesemua yang ditahan, disyaki melakukan kesalahan imigresen seperti tidak memiliki dokumen yang sah atau telah tamat tempoh, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas lawatan.
Pihak Imigresen menasihatkan orang ramai agar tidak menggaji dan melindungi warga asing atau pendatang tanpa izin (PATI) yang tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah.
Perbuatan ini adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan tegas berdasarkan Akta Imigresen 1959/63.