KUCHING: Sebanyak 457 kes dengan nilai rampasan RM6,266,799.71serta kompaunberjumlah RM334,388 direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak setakat hari ini sejak pelancaran Ops Pantau pada 23 Mac lalu.
Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, pemeriksaan telah dijalankan di sebanyak 3,017 premis dan 29,966 pengilang, pemborong, pasar basah, pasar tani, pasar malam, pasaraya, hypermarket, kedai runcit di seluruh Sarawak.
Jelas Matthew, jumlah kes dengan nilai rampasan serta kompaun adalah hasil daripada pemeriksaan yang telah dijalankan sejak 1 Januari lalu sehingga ke hari ini.
“Pemantauan dan pemeriksaan harga dan bekalan barang kawalan bagi memastikan keperluan pengguna mencukupi sepanjang Ramadan dan perayaan Aidilfitri tahun ini.
Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU 2023 melibatkan bekalan barang kawalan, harga barang seperti aduan harga tinggi atau disyaki melibatkan unsur pencatutan, Jualan Murah, tempoh sah Alat Timbang atau Sukat, penjualan Barang Tiruan/Cetak Rompak, Perbahasan Halal serta Bazar Aidilfitri atau Ramadan yang menjual juadah berbuka puasa di seluruh Sarawak.
Seramai 189 pegawai Penguat kuasa dan 99 Pegawai Pemantau Harga digerakkan bagi menjayakan Ops Pantau tersebut.
Mengulas mengenai isu telur pada musim perayaan, Matthew berkata, setakat ini, tiada masalah bekalan telur di Sarawak sepanjang Ramadan sehingga perayaan Aidilfitri kelak.
“Tiada masalah pada masa ini, kalau ada boleh ajukan kepada kementerian.
“Malah pegawai KPDN akan sentiasa memantau situasi bekalan setiap hari di seluruh negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, sekiranya penguna mempunyai maklumat mengenai mana-mana pelanggaran oleh peniaga ke atas akta yang dikawalselia oleh Kementerian boleh menyalurkan maklumat melalui saluran WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000,Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 iv. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my) Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN atau Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245.
Oleh Azreen Keria