
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggerakkan lebih 2,400 pegawai penguat kuasa bagi pelaksanaan Ops Pantau 2026 bagi memastikan tiada manipulasi harga atau bekalan sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata operasi dari 19 Feb hingga 20 Mac bertujuan memastikan ekosistem perdagangan kekal stabil dan adil dengan operasi tertumpu di lokasi seperti bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar raya dan pasar tani.
Beliau berkata antara fokus operasi ialah pematuhan tanda harga, kestabilan harga dan bekalan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memberi amaran tindakan 24 jam terhadap peniaga gagal meletakkan tanda harga yang jelas.
“Bagi aspek kestabilan harga dan bekalan, sehingga kini tiada laporan meluas mengenai kenaikan harga melampau atau isu bekalan serius tetapi pemantauan rapi diteruskan bagi mencegah aktiviti pencatutan,” katanya kepada Bernama.
Azman berkata kehadiran pegawai penguat kuasa di lapangan atau omnipresence juga fokus utama dalam Ops Pantau 2026 yang melibatkan lokasi tumpuan dan strategik untuk memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan dan beretika selain dapat meyakinkan pengguna.
Selain itu, beliau berkata KPDN turut memantau kepatuhan harga di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2026, membanteras aktiviti pencatutan dan pemeriksaan tanda harga serta ketepatan alat timbang dan sukat bagi melindungi hak pengguna daripada dimanipulasi.
Azman berkata KPDN akan memastikan kempen jualan murah atau promosi juga sahih dan tidak mengelirukan selain mengekang penjualan barang tiruan atau cetak rompak di bazar.
“Aspek pemantauan dalam talian turut dilaksanakan dengan kami memantau platform e-dagang bagi memastikan tiada iklan palsu atau manipulasi harga secara digital,” katanya.
Beliau berkata KPDN telah melaksanakan 2,830 pemeriksaan dengan 34 kes dihasilkan setakat semalam menerusi Ops Pantau 2026 manakala pada tahun lepas, operasi sama melibatkan 70,906 pemeriksaan dan 390 kes.
Azman menyeru orang ramai menjadi mata dan telinga melalui kempen KITA GEMPUR dengan memaklumkan KPDN sekiranya berlaku salah laku berhubung ketidakpatuhan melalui saluran ditetapkan.
“KPDN tidak mengambil mudah sebarang aduan dan menggesa orang ramai untuk terus melaporkan salah laku demi melindungi pengguna,” katanya.
Beliau berkata aduan boleh disalurkan menerusi WhatsApp 019-848 8000, pusat panggilan 1-800-886-800, e-mel kepada e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.- Bernama