
KUCHING: Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuching telah melaksanakan Ops Luxury menerusi rondaan serta pemantauan penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa terpelihara.
Dalam operasi berkenaan, JPJ berjaya menyita sebuah kenderaan mewah jenis Mercedes yang didapati dipandu di atas jalan raya tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah, setelah tamat tempoh sejak 2024.
Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati kenderaan berkenaan tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas kenderaan terbabit selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPJ menegaskan bahawa pihaknya akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan tanpa mengira jenis atau kategori kenderaan, bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa memastikan kenderaan masing-masing mempunyai LKM dan perlindungan insurans yang sah sebelum digunakan di jalan raya.