
SIBU: Sebanyak 72 kenderaan membabitkan kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa dalam Ops Lebih Muatan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu, baru-baru ini.
Menurut JPJ Sarawak menerusi hantaran di Facebook, operasi itu dilaksanakan oleh Unit Operasi dan Tim Falcon JPJ Sibu di beberapa lokasi tumpuan termasuk sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dan Jalan Paradom Lanang di sini.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan telah dikenal pasti, antaranya membawa muatan melebihi had yang dibenarkan, keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik serta pengubahsuaian struktur dan peralatan kenderaan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Selain itu, beberapa kesalahan lain turut dikesan melibatkan aspek teknikal kenderaan yang berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Sehubungan itu, JPJ Sarawak menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah memastikan semua kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.
Tambahnya, usaha penguatkuasaan berterusan amat penting dalam meningkatkan tahap keselamatan kenderaan sekali gus melindungi keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan.
Oleh Tarani Lanting